PETALING JAYA – Ketua Biro Al-Jazeera di Gaza, Wael Al-Dahdouh dianggap sebagai hero dan bapa buat penduduk Palestin apabila kehadirannya membuat liputan sering dinanti-nantikan orang ramai.
Menerusi video-video yang tular di media sosial, warga Palestin tidak kira kanak-kanak, belia dan warga emas sangat menyayangi Wael, bahkan beliau turut dihormati oleh rakan-rakan media yang lain.
“Apabila Wael Al-Dahdouh bersuara, semua orang akan berkumpul di sekelilingnya,” kata Belal Khaled yang juga jurugambar di Gaza menerusi hantarannya.
Salah satu video dimuat naik anaknya pada Instagram Hamza Al-Dahdouh turut memperlihatkan orang awam bersalam dan memeluk Wael serta bergambar tatkala bertemu dengannya.
“Pakcik Wael, seluruh penduduk Gaza adalah keluarga anda dan ia kini merebak ke seluruh dunia. Kamu kini di mata dunia, kami mendoakan keselamatan anda,” komen Nadalinessya pada video itu.
“Ini betul-betul hero pengamal media. Terima kasih kerana menunjukkan semua kebenaran kepada dunia,” kata Annisa Agustina.
Selain penduduk Palestin, Wael turut popular dalam kalangan pengguna media sosial dari seluruh dunia termasuk Malaysia dengan pengikut Instagramnya kini mencecah 3.3 juta orang.
Sebelum ini media antarabangsa melaporkan, Wael kehilangan isteri, anak-anak serta cucunya dalam serangan rejim Zionis Israel pada Oktober lalu.
Wael juga dilaporkan cedera baru-baru ini ketika membuat liputan di Sekolah Farhana di Khan Younis, manakala rakannya yang juga jurufoto Samer Abudaqa terbunuh selepas mengalami pendarahan dibiarkan selama lebih lima jam. – KOSMO! ONLINE