PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi kisah suaminya ditipu janda yang dikenali menerusi aplikasi janji temu atau ‘dating apps’ sehingga mengalami kerugian RM15,000.
Perkara itu didedahkan wanita tersebut menerusi hantaran di Facebook Luahan Hati Seorang Isteri, hari ini.
Katanya, perkahwinan mereka memasuki tahun kelima, namun mereka tinggal berjauhan atas faktor kerja menyebabkan suaminya berani mencari wanita lain bagi mengisi masa kesunyian.
“Saya seorang isteri yang sudah ada dua anak. Saya dan suami sudah berkahwin lima tahun dan kami hidup sebagai pasangan jarak jauh (PJJ) sejak awal kahwin.
“Saya membesarkan anak-anak kerana suami menetap di Singapura atas urusan kerja. Sepanjang suami bekerja di sana, saya dicurangi suami.
“Suami bertemu dengan janda menerusi ‘dating apps’ sehingga dipergunakan wanita tersebut. Duit simpanan habis dikeluarkan, gaji tiap bulan habis kosong (kerugian) sekitar RM15,000,” kata wanita itu.
Luahan wanita tersebut turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
“Sebab itu si isteri kena pantau suami, walaupun PJJ kena selalu buat video call (panggilan video), minta pasangan ‘update’ (kemas kini) keberadaan dan aktiviti mereka.
“Sebab kita risau, bila berjauhan akan ada yang sunyi dan cari teman pengganti, mungkin pada awalnya kawan bersembang dan akhirnya menjurus kepada perbuatan tidak baik, sama-sama jaga hubungan rumah tangga,” pesan Nurul Syuhada.
Dalam pada itu, Mohd. Khairil berpandangan kaum suami perlu elak terdedah dengan aplikasi yang menjurus kepada perkenalan dengan wanita lain termasuk ‘dating apps’.
“Buat apa download (muat turun) ‘dating apps’, dah kahwin pun nak cari siapa lagi. Takkan cari kawan sekolah lama? Kita sebagai suami banyak tanggungjawab jangan mendedahkan diri dengan sesuatu yang boleh buat kita lalai.
“Orang tino (perempuan) pun jangan nak menggatal dengan suami orang, kami para suami orang ini kadang kesian, takut lama-lama tersuka. Baik anda cari lelaki bujang,” selorohnya di ruangan komen hantaran terbabit. – KOSMO! ONLINE