fbpx

Sempat ‘video call’ sebelum maut ambil baju-T

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fazlina.

SHAH ALAM – Seorang penuntut universiti yang maut ketika mengambil baju-T sebelum ini dikatakan sempat membuat panggilan video bersama keluarganya pada petang hari kejadian, Selasa lalu.

Allahyarham Adly Zarkasyi Alzafry, 18, maut dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam selepas terjatuh daripada tingkat 34 di sebuah kondominium di Kampung Baru, Kuala Lumpur dekat sini.

Mengimbau semula, ibu mangsa, Fazlina Fuad, 47, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik tersebut menghubunginya kira-kira pukul 6.30 petang hari kejadian sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Kangar, Perlis.

Katanya, Allahyarham ada memaklumkan bahawa kelasnya pada hari tersebut hanya dibuat secara dalam talian.

“Dia (Adly) cakap rugi kalau tidak ikut kami sekeluarga pulang kampung sekali. Justeru, saya telah membelikan tiket bas pada hari Khamis untuk Allahyarham menyertai kami nanti.

“Namun, saya terkejut apabila polis menghubungi suami, Alzafry Abu Bakar, kira-kira pukul 8.15 malam memaklumkan Allahyarham maut setelah jatuh daripada kondominium berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Denai Alam, di sini, hari ini.

Jelasnya, dia bersama suaminya pada awalnya sukar menerima kenyataan tersebut dengan beranggapan adalah panggilan palsu atau scammer.

“Selepas anggota polis itu memberikan telefon kepada rakan serumah Allahyarham yang menyatakan perkara sama membuatkan dunia kami menjadi gelap seketika.

“Kami ambil keputusan untuk pulang ke Shah Alam pada malam kejadian dan tiba di rumah kira-kira pukul 4 pagi, kelmarin,” ujarnya dengan nada sedih.

Ketika ditanya mengenai baju-T yang cuba diambil Allahyarham Adly itu, Fazlina yang merupakan akauntan swasta tersebut memaklumkan bahawa dia tidak pernah melihat anaknya itu memakai baju itu dan menganggap ia mungkin baru dibeli arwah.

“Kebelakangan ini, Allahyarham gemar beli barang di kedai bundle (barangan terpakai) dan mungkin baju itu pun dia beli dari kedai tersebut.

“Saya dimaklumkan rakan serumahnya telah melarangnya memanjat balkoni bagi mengambil baju yang tersangkut pada balkoni, tetapi dia mahu juga ambil. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fazlina berkata, Allahyarham Adly Zarkasyi disifatkan seorang yang periang dan sering menceriakan keluarganya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas asar, kelmarin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan gara-gara mahu mengambil sehelai baju-T yang jatuh di kaki lima balkoni sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru Kuala Lumpur dekat sini, seorang penuntut universiti maut selepas terjatuh dari tingkat 34 bangunan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI