GEORGE TOWN – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan ujian berat yang menimpa seorang bekas bilal masjid ketika ini.
Selepas mengalami masalah penglihatan sehingga mengakibatkan mata kirinya buta kira-kira enam tahun lalu, Faisal Inwar Badaruddin, 48, kini diuji lagi apabila disahkan pula menghidap kanser usus tahap tiga beberapa bulan lalu.
Lebih malang, bapa tunggal itu juga berdepan risiko untuk kehilangan kedua-dua belah mata apabila tahap penglihatan mata kanannya pula semakin merosot.
Menurut Faisal Inwar, dia tidak pernah menduga akan berdepan dugaan yang berat ketika kelima-lima anaknya yang berusia antara 10 hingga 21 tahun itu masih memerlukan perhatiannya terutamanya dua orang yang masih bersekolah rendah.
“Saya mula sakit sejak bulan puasa lalu, tapi memang tidak sangka akan jadi sampai macam ini sekali. Mula-mula tak lalu makan, kemudian demam dan cirit-birit berterusan sampai berat badan susut, nak jalan pun dah tak larat.
“Selepas jumpa doktor dan buat beberapa pemeriksaan berkaitan, doktor sahkan ada ketumbuhan dalam perut dan dia kata itu kanser usus,” katanya kepada Kosmo!, baru-baru ini.
Faisal Inwar yang pernah bekerja sebagai pembantu lelongan berkata, dia akan menjalani rawatan secara kimoterapi mulai 22 Januari depan.
“Dari segi bantuan, setakat ini saya cuma dapat bantuan daripada zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kadangkala tak cukup kerana terpaksa menampung kos sara hidup, kos ubat-ubatan serta perbelanjaan sekolah anak-anak.
“Saya nak buat apa pun sekarang semua sudah tak boleh. Nak kerja tidak boleh, nak bawa motor pun tak boleh,” kata pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sejak 2018 itu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7621295761 atas nama Faisal Inwar atau menghubunginya di talian 018-2874 737.