JOHOR BAHRU – Seorang bapa melahirkan kelegaan setelah anak gadis yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui di kampus Politeknik Merlimau, Melaka kelmarin.
Junandi Tanjung Mansurdin, 58, berkata, kehadiran Balqish Mayshara, 18, disedari rakan sebiliknya sebelum menghubungi ahli keluarga kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, dia bersama seorang lagi anak bertolak dari Masai, di sini pada pukul 8.30 pagi menuju ke Balai Polis Merlimau ketika pihak polis mengambil keterangan Balqish Mayshara.
“Saya merasa sangat bersyukur anak perempuan saya dalam keadaan selamat, runsing saya memikirkan keadaannya sejak beberapa hari lalu apabila hilang tanpa khabar berita.
“Namun, saya masih belum tahu ke mana dia menghilang sebelum ini atau siapa yang menghantarnya pulang ke kampus. Apa yang saya tahu Balqish sudah ditemui dalam keadaan.
“Saya tunggu dia selesai beri keterangan sebelum membatalkan laporan kehilangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, remaja itu menghilangkan diri disebabkan merajuk.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kehilangan pelajar tahun pertama Politeknik Merlimau yang tidak pulang ke pangkuan keluarga selepas keluar dari kampus, pada Ahad lalu.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu kali terakhir dapat dihubungi adalah pada 21 Disember lalu.
Junandi berkata, dia bersama anaknya akan membuat rayuan kepada pihak politeknik untuk membenarkan gadis itu menduduki peperiksaan terakhir yang dijadualkan semalam.
“Semalam, saya dihubungi pensyarah Balqish bertanyakan kenapa dia tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
“Jadi, selesai urusan di balai polis ini, saya akan ke Politeknik Merlimau pula, harap dia boleh diberikan peluang kedua untuk ambil peperiksaan itu,” ujarnya.