PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 bertempat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Ahad ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pelbagai aktiviti kerohanian diadakan sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baru masihi dengan pelbagai aktiviti diadakan.
Katanya, Masjid Negara umpamanya, akan mengadakan bacaan surah Yasin, majlis zikir dan doa selamat.
“Di Masjid Putra pula, selain aktiviti bacaan Yasin, zikir dan doa selamat, akan turut diadakan ceramah khas disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Aiman Ridhuan, Naib Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2022.
“Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menampilkan program khas Ambang Gema Syukur dengan pengisian Kuliah Maghrib Khas, sesi Tadabbur Surah Al-Mulk dan refleksi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Hakimah, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan meneruskan program pada Isnin depan dengan acara Qiamulail Tahun Baharu, Solat Subuh Berjemaah, Ceramah Khas Subuh 4 GAZA, slot International Quran Moment dan Forum Perdana Tahun Baharu.
Beliau juga turut menyeru seluruh lapisan masyarakat hadir beramai-ramai bersama ahli keluarga bagi mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian.
“Di samping bermunajat dan berdoa semoga negara kita dijauhi daripada segala musibah, bala bencana dan wabak penyakit, doa juga dipohon agar Palestin diberikan keamanan dari pergolakan yang berpanjangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE