KUALA LUMPUR – Operasi menggempur warga asing seperti yang dilakukan di ‘Mini Dhaka’ Jalan Silang, di sini akan diteruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, operasi akan datang itu akan menumpukan kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jelasnya, lebih 10 penempatan warga asing di seluruh negara telah dikenal pasti dan operasi tersebut akan dilaksanakan secara konsisten.
“Kita sudah kenal pasti beberapa target-target lokasi dan saya akan kongsi (kawasan itu) pada saat akhir (sebelum operasi) takut ada yang bocor nanti.
“Ini kerana banyak operasi yang dilakukan sebelum ini melibatkan penempatan PATI, berlaku kebocoran maklumat. Bila datang (lokasi) dah kosong,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad di lantik sebagai Pengarah JPJKK baharu menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail akan bersara pada 1 Januari ini.
Turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Perkep JPJKJ antara Datin Seri Raja Asaudat Raja Muda dengan Datin Sarihah Jusoh.
Tambah Ayob Khan, operasi tersebut bukan sahaja tertumpu di sekitar Lembah Klang, tetapi ia melibatkan beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah dan Kelantan. – KOSMO! ONLINE