IPOH – Kerajaan negeri Perak melancarkan laman web PerakGoGoGo, hari ini bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancongan berbahasa Cina dari dalam dan luar negara seperti China ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, laman web tersebut menampilkan pelbagai kandungan yang boleh dilayari oleh orang ramai bagi mendapatkan maklumat mengenai destinasi pelancongan menarik di Malaysia dan Perak secara khususnya.
“Tahun ini buat julung kalinya dalam sejarah kita (Malaysia) berjaya mengalahkan negara-negara jiran yang dilihat sebelum ini gergasi pelancongan. Ini menunjukkan hala tujunya adalah betul.
“Justeru kita dalam konteks negeri ingin mengikut hala tuju ini supaya dapat menambah bilangan pengunjung atau pelancong ke Perak,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan laman web PerakGoGoGo iaitu platform khas dalam bentuk media digital yang dirancang oleh syarikat akhbar berbahasa Cina tempatan.
Ketiga-tiga syarikat tersebut yang berada di bawah kumpulan media berbahasa Cina, Media Chinese International Limited mewujudkan laman web itu bagi mempromosi tarikan pelancongan di Perak.
Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, antara kumpulan sasaran pelancong yang berpotensi mengunjungi negara ini adalah dari Hong Kong, Taiwan serta Macau.
“Antara kandungan laman web pelancongan PerakGoGoGo tersebut adalah video berkonsepkan jalan-jalan cari makan iaitu memperkenalkan makanan klasik serta lazat di Ipoh, meneroka sejarah dan warisan budaya di sekitar bandar ini serta memperkenalkan rumah ibadat pelbagai kaum yang bersejarah di sini.
“Video ini bukan sahaja menggabungkan gambar dan artikel dalam bentuk digital, malah juga akan menerbitkan dalam surat khabar untuk menarik peminat yang setia untuk membacanya setiap hari,” ujar beliau.
Selain itu, beliau berkata, bermula Januari hingga Mac 2024, kempen menyeluruh bagi mempromosikan laman web itu akan dilaksanakan menerusi platform digital seperti laman web berita, blog, Facebook, Instagram, YouTube dan Telegram.
Menurut beliau, laman web itu juga mempunyai pautan terhadap Pertandingan Photografi 2023 yang bertemakan Ipoh Travel Snap.
“Penganjur telah menerima sebanyak 700 gambar penyertaan dari seluruh penggiat fotografi di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang serta Taiping dan Ipoh di negeri ini.
“Melalui penilaian oleh lima orang juri dalam tempoh lima jam, akhirnya terpilih hasil berkualiti tinggi yang menonjolkan tempat-tempat pelancongan menarik di kawasan Ipoh seperti gua batu kapur, makanan dan kehidupan masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE