fbpx

Konflik Palestin-Israel: Nasib wanita hamil, ibu menyusu anak kian parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA mendukung bayi di tengah-tengah runtuhan bangunan di Bandar Gaza pada 25 November lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Berpuluh-puluh ribu wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak terpaksa berlapar setiap hari ketika krisis makanan di Semenanjung Gaza semakin meruncing, menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan, lapor laman berita Palestine News Network.  

Menurut pertubuhan kebajikan ActionAid Palestine, ibu-ibu yang mempunyai anak kecil tidak dapat menyusukan bayi yang baru dilahirkan disebabkan keadaan itu.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch sebelum ini menyatakan bahawa Israel menjadikan krisis kelaparan penduduk Gaza sebagai ‘senjata’ perangnya dengan Hamas.

Kesan peperangan tersebut kepada wanita hamil, ibu dan kanak-kanak adalah yang paling teruk.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat lebih 50,000 wanita hamil dan 68,000 wanita yang menyusukan anak di Gaza ketika ini.

Mereka memerlukan campur tangan segera bagi menyelamatkan nyawa, mencegah atau mengatasi masalah tersebut.

Dalam masa sama, 7,685 kanak-kanak berumur bawah lima tahun mengalami keadaan yang mengancam nyawa, menyebabkan mereka terdedah kepada masalah perkembangan terbantut, penyakit dan dalam kes yang lebih teruk, kematian.

Lebih 4,000 lagi kanak-kanak dikategorikan sebagai kekurangan berat badan dan memerlukan rawatan bagi menyelamatkan nyawa.

Secara purata, terdapat hanya 1.5 liter air untuk setiap seorang di Gaza bagi digunakan pada setiap hari untuk menampung semua keperluan mereka. Ia melibatkan air untuk minum, mandi dan membersihkan diri.

Sebagai tambahan kepada minimum 15 liter air sehari yang diperlukan setiap orang untuk kelangsungan hidup asas, wanita-wanita hamil dan ibu-ibu menyusu anak memerlukan pertambahan 7.5 liter air bersih bagi memastikan diri dan bayi mereka berada dalam keadaan sihat.

Penyelaras Advokasi dan Komunikasi di ActionAid Palestine, Riham Jafari berkata: “Kami sudah kehabisan kata-kata untuk menggambarkan betapa mendalamnya situasi yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza. 

“Seluruh penduduk kelaparan tetapi wanita-wanita hamil dan ibu-ibu yang menyusu bayi serta anak-anak mereka adalah yang paling menderita. Kisah-kisah yang kita dengar amat menyentuh perasaan.”

Menurut Riham, kebanyakan ibu terpaksa melihat tanpa mampu berbuat apa-apa ketika anak-anak mereka menjerit dan menangis kelaparan. 

“Seorang ibu yang kekurangan makanan dan air sehingga tidak dapat menyusukan anak memberitahu kami mengenai rasa bimbangnya terhadap bayinya yang menghidap demam kuning akibat kekurangan zat makanan,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada lima anak termasuk seorang bayi yang baru dilahirkan, Khitam berkata, dia tidak mempunyai apa-apa untuk diberi makan kepada anak-anaknya.

“Bagaimana kami minum? Adakah ia cukup untuk kami semua dan bayi? Sudah tentu tidak! Tiada air untuk diminum, tiada air bersih. Saya mempunyai empat orang anak (selain bayi) yang sejak pagi kelaparan tetapi tiada roti untuk dimakan.

“Apabila arahan untuk mengosongkan rumah dikeluarkan, saya baru sahaja bersalin dua hari sebelumnya.

“Saya ketika itu baru sahaja keluar dari hospital dan masih berdarah. Saya berlari sambil menggendong bayi. Kami berjalan di bawah ‘hujan’ peluru berpandu dan tembakan serta hanya duduk seketika untuk berehat di atas jalan,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI