fbpx

Kerusi roda ihsan Neelofa – Adik Fiza Kamarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERUSI roda yang digunakan Allahyarham Hafizah Kamarudin di London adalah sumbangan dari selebriti terkenal, Neelofa.

PETALING JAYA – Adik kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin, Linda Kamarudin, 39, memberitahu arwah kakaknya sudah merancang untuk bercuti ke London sejak 2022 lagi ketika keadaan kesihatannya masih stabil.

Malah, percutian kakaknya ke London bersama suami, serta dua anaknya turut mendapat ihsan daripada selebriti terkenal, Neelofa yang telah menyumbangkan sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya ketika di sana (London).

“Arwah sudah lama rancang untuk bercuti ke London bersama keluarga. Kalau tidak salah sejak 2022 lagi. Waktu itu sakitnya tidaklah terlalu teruk.

“Bila keluar dari Institut Kanser Negara sekitar November lalu, arwah nekad untuk bawa anak-anak (bercuti) sebab sudah berjanji.

“Ketika mahu ke London, arwah ada minta bantuan kerusi roda. Kerusi roda yang digunakannya ketika di sana adalah ihsan daripada Neelofa,” ujarnya.

Kata Linda, arwah kakaknya memerlukan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan kerana tidak mampu untuk berjalan jauh kerana akan berasa semput.

“Sebab nak berjalan jauh arwah akan semput. Kalau di rumah, dari ruang tamu ke dapur pun arwah akan semput,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, keluarganya sudah Bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang berlaku selepas diberitahu kakaknya pengsan ketika berada di lapangan terbang oleh abang iparnya (suami arwah), Mohd. Roshdi Ramli.

“Apabila suaminya memberitahu arwah pengsan, kami sudah berdebar-debar dan takut. Bila dimaklumkan tekanan darah dan oksigen semakin menurun dan ada pendarahan dalam kepala, kami sudah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

“Bila arwah disahkan meninggal dunia, mak nampaknya perlahan-lahan boleh terima. Memang kami sudah bersedia, tapi tak jangka pemergian arwah secepat ini,” katanya.

Ujar Linda lagi, kehilangan arwah amat dirasai memandangkan kakaknya itu merupakan ‘perancang’ untuk aktiviti keluarganya.

Pada masa sama, Linda turut berkongsi rasa terharu apabila berita tentang kematian kakaknya itu mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan kewartawanan, bahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mengikuti rapat perkembangan arwah.

“Dalam keluarga, kakak adalah perancang untuk semua aktiviti. Jadi bila arwah tiada, kami amat rasai kehilangannya.

“Kami terharu melihat banyak rakan-rakannya berkongsi hantaran dalam media sosial tentang arwah kakak, bahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pun mengikuti rapat perkembangannya.

“Jadi kami tidak sangka sebab kakak adalah wartawan hiburan biasa sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, proses membawa pulang jenazah Hafizah atau mesra disapa Fiza ke Malaysia dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya selama seminggu berikutan membabitkan beberapa prosedur dan dokumen.

Malah, kos membawa pulang jenazah dari London untuk dikebumikan di Malaysia yang menelan kos sekitar £5,000 pound sterling atau sekitar RM30,000, telah pun mencukupi, hasil kutipan tabung sumbangan sumbangan yang dilancarkan oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Manakala di London, Roshdi kini turut dibantu dan menerima nasihat daripada Persatuan Komuniti Islam dan Kedutaan Malaysia.

Terdahulu, arwah yang merupakan wartawan di portal hiburan, Boom! Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU dikatakan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarhamah yang diserang semula sel barah payudara selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit itu, meninggalkan dua cahaya mata, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI