fbpx

Kenyataan Koo Ham satu kekhilafan – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke.

PETALING JAYA – Cadangan seorang Ahli Parlimen DAP supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam merupakan satu kekhilafan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan perkara berkenaan terkhilaf mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh (Koo Ham) akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan Koo Ham mengemukakan cadangan tersebut dengan pendapat, ia bagi mengambil kira pandangan bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau dipetik berkata, Perlembagaan Negara dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincang secara menyeluruh.

Terdahulu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan oleh MKI yang dipengerusikan oleh Tuanku Sultan Selangor dan bertujuan menasihati majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.

Menurut beliau, sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang.

“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dalam perkara yang timbul kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

Ujar beliau, DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab bersama.

“Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI