fbpx

Kemas WP peruntuk RM1j martabat wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubiah (tengah) semasa menyempurnakan program WINS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) Wilayah Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1,018,400 bagi pelaksanaan program kemahiran, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, pihaknya melalui Kemas telah mengambil inisiatif melatih masyarakat terutama dalam bidang kemahiran.

Antaranya program Kursus Kemahiran Quick Win, Kursus Kemahiran Jangka Pendek, Sijil Kemahiran Malaysia dan beberapa kursus lagi dalam usaha yang murni untuk membantu masyarakat.

“Kita mahu penglibatan wanita dalam bidang kemahiran ini akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya di hadapan lebih 800 wanita dalam program dua hari iaitu Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) bertemakan ‘Wanita Desa ke Global’ bertempat di Datum Jelatek Shopping Center di ibu negara baru-baru ini.

Program yang merangkumi latihan keusahawanan seperti Pakej Teras Keusahawanan, Program Pemasaran Digital, 1 Kampung 1 Usahawan, Audit, Coaching and Mentoring serta Program Pembungkusan dan Pelabelan Usahawan Kemas juga memberi manfaat kepada 253 orang usahawan.

Penglibatan wanita di Wilayah Persekutuan dalam keusahawanan semakin disemarakkan menerusi pelbagai program.

Rubiah berharap program Kemas akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan wanita terutama B40 bagi terus memartabat dan memperkasa kaum Hawa itu.

“Saya menyeru golongan wanita dan masyarakat untuk menyertai dan mengambil peluang mencorak kehidupan yang lebih baik.

“Ia sekali gus bukan sahaja dapat meningkatkan peluang penjanaan pendapatan tetapi mengurangkan kadar pengangguran terutamanya bagi golongan B40 dan berkeperluan,” tambahnya.

Katanya lagi, program Kemas itu juga adalah platform terbaik untuk memperkenalkan serta mempromosi produk usahawan bimbingan jabatan itu secara terbuka.

“Inisiatif program ini sesuai dengan objektifnya iaitu mencipta peluang dan platform kepada akses pasaran produk luar bandar kepada pengedar, pembeli serta pengguna,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI