fbpx

JKKP siasat pekerja kilang kitar semula maut jatuh 24 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa di lokasi kejadian.

SHAH ALAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengeluarkan notis larangan serta-merta terhadap sebuah kilang kertas kitar semula di Bandar Mahkota, Kuala Langat, di sini susulan kematian seorang pekerja semasa membuat kerja-kerja pembersihan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang kelmarin, lelaki berusia 22 tahun itu yang jatuh dari ketinggian kira-kira 24 meter dilaporkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Banting.

JKKP Selangor berkata, notis larangan itu susulan kegagalan pihak majikan untuk memastikan praktik ke atas sistem kerja selamat sehingga berlakunya kemalangan, termasuk arahan larangan kacau ganggu di kawasan kemalangan.

Katanya, dua notis pembaikan juga turut dikeluarkan di atas kegagalan majikan memasang penghadang pada bahagian berputar bagi sebuah mesin konveyor bahan api pepejal dan mengadakan ‘interlocking’ serta sistem lockout–tagout (LOTO) pada mesin tersebut.

“Di samping itu, surat arahan juga dikeluarkan kepada majikan bagi menjalankan penaksiran semula terhadap risiko bagi kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan mesin berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut JKKP Selangor lagi, sepasukan pegawai penyiasat telah diarahkan untuk menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut yang tular di media sosial.

Ujarnya, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa bersama seorang rakan telah ditugaskan untuk kerja-kerja pembersihan di bahagian mesin tersebut secara manual iaitu dengan menggunakan shovel (pengaut).

Ketika kejadian, shovel dan badan mangsa tersangkut di antara takal dan tali sawat konveyor yang sedang beroperasi.

“Lalu menyebabkan mangsa tertarik dan berpusing pada takal dan terjatuh ke bawah melalui sebuah lubang penegang tali sawat yang berada bersebelahan dengan takal tersebut.

“Mangsa terjatuh dari ketinggian lebih kurang 24 meter daripada aras lantai,” katanya.

Tambah kenyataan itu, majikan bertanggungjawab melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta dan paling cepat kepada JKKP seperti termaktub dalam Peraturan 5 (1), Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pukul 3.38 petang dengan mangsa telah diberikan bantuan awal dan dikejarkan ke Hospital Banting.

“Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dengan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Kes klasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kejadian menimpa mangsa tersebut dengan ramai menuntut keadilan selepas majikan didakwa ‘menyorokan’ kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI