SHAH ALAM – Pelepasan ikan asing atau lebih dikenali spesies ‘alien’ untuk membayar nazar atau ritual telah mempercepatkan kepupusan ikan asli tempatan di Selangor khususnya.
Pemilihan ikan khususnya jenis keli afrika atau nama saintifiknya clarias gariepinus yang dikatakan mempunyai daya tahan tinggi amat bersesuaian dengan nazar dibuat golongan tersebut.
Kehadiran ikan penceroboh ini dikatakan boleh memakan mana-mana spesies ikan dengan begitu banyak dan cepat bertindak balas kepada sumber makanan baharu.
Malah, ikan keli afrika yang seberat dua kilogram (kg) boleh menghasilkan kira-kira 45,000 biji telur.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, ikan keli Afrika adalah tersenarai dalam senarai cadangan ikan yang tidak boleh dilepaskan di perairan umum melalui kempen-kempen kesedaran yang dijalankan pihaknya.
Katanya, pihaknya tidak pernah melarang sesiapa untuk melakukan upacara nazar, namun dengan syarat tidak melepaskan ikan invasif atau pemangsa.
“Mungkin dia (bernazar) berniat baik kerana ikan keli afrika boleh dimakan penduduk negara ini. Apabila ditangkap, nelayan darat akan mendapat pendapatan mereka sedangkan spesies asli ikan tempatan jenis itu adalah ikan keli bunga.
“Biasanya, ikan keli afrika ini adalah besar berbanding tempatan dengan di bahagian bawahnya berwarna seakan putih kelabu. Mereka yang bernazar sepatutnya merujuk kepada kami dengan pelbagai ikan lain boleh dilepaskan yang mempunyai nilai tinggi seperti lampam sungai dan baung sungai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, pelepasan ikan-ikan invasif ini telah menyebabkan ekosistem ikan air tawar tempatan kini semakin merosot dengan kemunculan pemangsa yang pelahap seperti ikan baung ekor merah, peacock bass dan pacu.
Ujarnya, berdasarkan kajian inventori perikanan darat dan maklumat daripada nelayan darat mendapati populasi mereka telah merebak di Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam selain tasik atau kolam takungan yang wujud di negeri ini.
“Ikan-ikan ‘alien’ ini semakin dominan kerana sifatnya agresif dan mempunyai saiz besar sehingga menyebabkan ikan pemangsa tempatan seperti haruan, sebarau dan toman tidak mampu menandinginya.
“Sebahagian ikan ini juga boleh bertahan pada keadaan air yang tercemar seperti ikan keli afrika dan ikan bandar raya (ikan pleco). Ketahanan ini akan menyebabkan ia senang membiak dan terus berkembang.
“Malah, hasil maklumat nelayan di Felda Soeharto, Hulu Selangor pernah menangkap ikan baung ekor merah seberat 50 kilogram (kg) selain terdapat maklumat diperolehi ikan jenis itu juga makan lokan iaitu sejenis haiwan cangkerang,” katanya.
Noraisyah memberitahu, kebanyakan ikan alien ini adalah berasal dari benua Afrika dan Sungai Mekong yang dibawa masuk untuk tujuan ternakan, manakala ada sesetengah ikan yang telah disenarai sebagai ikan larangan dibawa atau diseludup masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pembelinya pula apabila ikan tersebut semakin membesar dan tidak mampu untuk membelanya lagi dikatakan mengambil jalan mudah dengan melepaskan ke perairan umum.
“Ada faktor di mana pemancing ingin ada cabaran ketika menangkap seperti ikan peacock bass. Dulu tiada ikan sebegini dengan pelepasan dilakukan individu tidak bertanggungjawab lebih kepada mencari keseronokkan dan keterujaan ketika memancing.
“Namun, kini pemancing mula merasakan kehilangan ikan asli tempatan dan membuatkan mereka membantu semula dengan menangkap ikan-ikan penjajah ini,” ujarnya.
Tambahnya, perkara dibimbangi juga apabila ada pemilik atau pengusaha kolam pancing yang menternak ikan-ikan pemangsa asing sebagai tarikan dalam merancakkan perniagaan mereka.
“Apabila banjir berlaku, ikan-ikan larangan itu kemudiannya terlepas ke persekitaran sungai kita seperti pernah berlaku pada tahun 2014 yang menyumbang peningkatan populasi baung ekor merah dalam ekosistem.
“Kita akui memang ada pembeli sekiranya ikan invasif ini berjaya dinaikkan pemancing dengan nilai antara RM20 hingga RM40 sekilogram. Namun nilainya adalah murah berbanding ikan asli seperti kelah yang mencecah RM300 sekilogram dan ikan kerai (RM80 sekilogram),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE