LIVERPOOL – Kemenangan 3-1 ke atas Everton di Goodison Park awal pagi semalam menyerlahkan lagi kemahuan para pemain Manchester City untuk bangkit mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengurus City, Pep Guardiola merasakan walaupun prestasi mereka tidak begitu konsisten, namun kejayaan diraih selepas beberapa hari menjuarai trofi Piala Dunia Kelab di Arab Saudi membuktikan keazaman yang ada dalam diri setiap pemainnya.
“Ia adalah perlawanan yang cukup penting buat kami selepas kembali dari Arab Saudi sebagai juara dunia. Ia sekali lagi membuktikan betapa istimewanya pemain yang kami miliki dan mereka juga ada mentaliti hebat.
“Memang kami tidak berada di puncak liga, tetapi masih ada banyak perkara yang akan berlaku dan sudah pasti akan ada kejutan. Saya masih ingat ketika berada dalam pesawat semasa pulang dari Arab Saudi, saya mendengar pemain bercakap mengenai aksi dengan Everton.
“Mereka tidak tahu saya dengar perbincangan mereka. Saya katakan ini adalah pasukan saya dan percaya mereka akan tetap mencuba kerana perjalanan musim ini masih panjang dengan banyak lagi perlawanan perlu ditempuhi,” katanya.
Ini adalah kemenangan kedua City dalam tujuh aksi liga yang menyaksikan Phil Foden, Julian Alvarez dan Bernardo Silva menyumbangkan gol buat The Citizens, manakala jaringan tunggal tuan rumah diperoleh menerusi Jack Harrison.
Bagaimanapun, City terpaksa membayar harga mahal apabila kehilangan khidmat John Stones disebabkan kecederaan buku lali dan Erling Haaland masih belum pulih sepenuhnya, namun Kevin De Bruyne kembali memberi khabar gembira kepada Guardiola.
“Dia (Haaland) berlatih berseorangan dan keadaannya bertambah baik. Kevin (De Bruyne) pula sudah berlatih bersama pasukan dan saya pastinya gembira jika dia dapat bermain perlawanan selepas ini.
“Namun, perkara paling penting adalah dia perlu cergas sepenuhnya untuk membolehkan dia beraksi lebih lama dan bukannya sekadar satu perlawanan,” jelas Guardiola. – AGENSI