TEMERLOH – Empat penunggang motosikal termasuk seorang pesalah juvana berusia 15 tahun, didakwa di mahkamah sesyen, di sini hari ini atas kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna lain di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1).
Aksi mereka mempamerkan aksi ‘Superman’ dan berakhir dengan kemalangan di Jambatan Ahmad Shah Temerloh pada 24 Disember lalu, menjadi tular di media sosial.
Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.
Tiga tertuduh penuntut institut pengajian tinggi (IPT) Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19, Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkififli, 20, dan Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22 tahun.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan semua tertuduh diwakili Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari.
Mahkamah menetapkan tiga penuntut IPT dijamin RM3,000 seorang dan RM1,500 untuk jaminan bagi tertuduh juvana, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada Februari.