PAPAR – Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kimanis-Keningau, di sini awal pagi tadi.
Kemalangan pada pukul 1 pagi itu membabitkan kereta sewa jenis Proton Persona yang dinaiki empat individu termasuk tiga sekeluarga bertembung dengan lori kargo lima tan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, dua mangsa yang maut adalah pemandu kereta berusia 33 tahun dan penumpang hadapan berumur 32 tahun.
Dua lagi penumpang Proton Persona iaitu wanita berumur 32 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia setahun dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Persona itu bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Keningau, manakala lori pula sedang menuruni bukit dari arah bertentangan.
“Pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di lokasi kejadian dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – KOSMO! ONLINE