fbpx

Cadangan Ahli Parlimen Beruas tidak berasas – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im.

PUTRAJAYA – Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung pelantikan pakar perundangan bukan Islam bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah disifatkan sebagai tindakan tidak berasas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im berkata, dalam konteks ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu perundangan dan kehakiman syariah.

Katanya, majlis itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain turut merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam telah menjalankan mesyuarat pertama pada 5 Disember 2023.

“Jawatankuasa itu ditubukan dengan tujuan mengkaji isu berkaitan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,”’katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Untuk rekod, jawatankuasa khas itu dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi selain dianggotai anggota lain seperti mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri dan wakil Jabatan Peguam Negara.

Kesemua anggota dilantik mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah serta berkelayakan membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik menyelesaikan isu terlibat.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas itu akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja.

“Oleh itu, semua pihak diseru tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada jawatankuasa khas itu untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI