KOTA BHARU – Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Kelantan hari ini menurun kepada 19,716 berbanding 20,640, petang semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, ia mencatatkan pengurangan sebanyak 924 orang dengan kesemua mangsa terlibat terdiri daripada 6,496 keluarga di 52 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Setakat ini, empat daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kuala Krai masih dilanda banjir. Pasir Mas kekal sebagai lokasi yang paling ramai terjejas banjir dengan 15,586 orang, Tumpat (3,231), Kuala Krai (734) dan Tanah Merah (165),” katanya.
Menurut kenyataan itu, setakat ini, paras Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Pergau (Kampung Lawar, Jeli) masih melepasi paras bahaya, selain Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) serta Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) mencatatkan bacaan amaran.
“Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tambatan Diraja selain Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada tahap berjaga-jaga, manakala lain-lain sungai di Kelantan masih berada pada paras normal,” katanya. – KOSMO! ONLINE