GEORGE TOWN – Seorang bekas kerani akaun sebuah syarikat penguji emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 133 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM445,815, antara Oktober 2019 hingga Mei 2021.
Bagaimanapun, Teh Ya Ling, 41, mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Ya Ling sebagai kerani akaun di sebuah syarikat penguji emas di Jalan Sungai, George Town telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang milik syarikat tersebut ke dalam akaun miliknya sendiri.
Secara keseluruhannya wang yang dipindahkan berjumlah RM445,815 dan wang itu dipindahkan secara berperingkat di mana ia berjumlah antara RM500 hingga RM30,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.
Ya Ling yang kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat jurutera dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.
Kes berkenaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong.
Ketika prosiding, Jun Keong meminta mahkamah menawarkan wang jaminan berjumlah RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam yang mewakili tertuduh, Teoh Kung Yu kemudian meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan wang jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
“Selain itu, anak guam saya perlu menyara bapanya yang berusia 81 tahun selepas kematian ibunya. Dia juga tiada rekod jenayah sebelum ini dan ini kali pertama dia dituduh di mahkamah,” katanya.
Hakim Sharmila kemudiannya menetapkan wang jaminan RM500 dengan seorang penjamin bagi 133 pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM66,500.
Sharmila turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang kes dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 9 Februari depan untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE