SINGAPURA – Seorang penghantar makanan didenda sebanyak SG$2,500 (RM8,751) oleh sebuah mahkamah di Singapura setelah didapati bersalah menunggang basikal elektrik secara perlahan di hadapan sebuah bas, lapor laman berita Asiaone hari ini.
Lin Tianfa, 39, mengaku bersalah di bawah Akta Perlindungan Gangguan selepas melakukan kesalahan itu pada Februari lalu.
Disebabkan percaya bahawa pemandu bas tidak memberinya ruang yang cukup ketika memotong, Tianfa berhenti di sebelah kenderaan itu dan mengetuk tingkap ketika ia berhenti di lampu isyarat.
Walaupun mengetuk tiga kali, pemandu bas tidak mengendahkan Tianfa, sebaliknya terus bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau.
Disebabkan berasa tidak senang dengan perkara itu, penghantar makanan tersebut sengaja mengayuh basikalnya dengan perlahan di hadapan bas tersebut.
Selepas pemandu bas berhenti di sebuah perhentian, Tianfa pergi kepadanya dan melemparkan kata-kata kesat. – AGENSI