fbpx

Penempatan, pertukaran pegawai Kastam selaras perintah dikeluar jabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Penempatan dan pertukaran pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, ia adalah berdasarkan Perintah Tetap Perjawatan Bil.78 Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023.

Katanya, ia juga berdasarkan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan–urusan lain berkaitan pelantikan di bawah Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.

“Selain itu, tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (Semakan Semula Separuh Penggal) di bawah Objektif Strategik 2.1: Merekayasa Perkhidmatan Awam ke arah tadbir urus baik melibatkan insiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif,” katanya dalam kenyataan tadi.

Jelasnya, pertukaran itu dapat membantu memperkayakan dan memperluaskan tugas kepada pegawai antaranya menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran di kalangan pegawai.

“Peningkatan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat.

“Membolehkan pegawai melihat organisasi dimana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Tambahnya, dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran kerajaan juga menyatakan, menukar pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

“Menukar pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif.

“Seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah Kastam ataupun atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah Kastam berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan.

“Kesemua pertukaran yang dilaksanakan melibatkan pegawai-pegawai yang telah berkhidmat melebihi tujuh tahun di lokaliti yang sama.

“JKDM juga memberi ruang bagi penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan dan sehingga kini beberapa pertukaran telah ditangguhkan atas sebab-sebab keluarga, kesihatan dan persekolahan anak-anak,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) berharap pengurusan tertinggi JKDM membatalkan arahan pertukaran yang dikeluarkan baru-baru ini.

Presiden KPKSM, Abdul Malik Mohamed Zin berkata, arahan tersebut menyebabkan pegawai-pegawai terbabit berdepan kesulitan daripada segi peningkatan kos sara hidup serta berjauhan dengan keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI