KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyalurkan bantuan banjir sebanyak RM40,000 ke negeri Pantai Timur bagi meringankan beban mangsa yang terjejas sejak bulan lalu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan dalam bentuk barangan keperluan asas.
“Ia merangkumi air mineral, makanan kering, kelengkapan pembersihan diri (toiletries) serta bot dan enjin bagi memudahkan penyaluran bantuan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program pelepasan misi bantuan banjir Pemuda UMNO Malaysia ke negeri Pantai Timur di pekarangan Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Menurutnya, gerakan tersebut turut menggabungkan gerak kerja Skuad Sabil serta 40 hingga 50 sukarelawan bagi memudahkan misi kemanusiaan ini.
“Pada malam ini, rombongan ini dijadualkan disambut oleh Skuad Sabil di Pasir Putih, Kelantan sebelum memulakan agihan bantuan esok di Besut, Terengganu.
“Fasa pertama fokus pada penyediaan bantuan segera, sementara fasa kedua akan bermula selepas banjir surut, menitikberatkan pada pembersihan rumah dan tempat ibadat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE