fbpx

Nenek berkomplot tukar hak milik tanah orang mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINAH TALIP (kiri) dipimpin anggota polis selepas didakwa menukar pemilikan tanah individu telah meninggal dunia yang memiliki nama sama dengan dirinya.

MELAKA – Seorang wanita warga emas dan dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penukaran hak milik tanah di Kelemak, Alor Gajah dekat sini sejak Julai tahun lepas.

Tertuduh, Aminah Talip, 68, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Dua lagi tertuduh, Ayob Osman, 63, dan Norshaliza Said, 41, bagaimanapun membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan curangnya telah menggunakan borang pindah milik 14A palsu untuk memindahkan bahagian lot tanah milik Aminah Jaudin yang telah meninggal dunia.

Ayob dan Aminah Talip turut didakwa menggunakan akuan berkanun palsu yang mengikrarkan Aminah Talip adalah Aminah Jaudin.

Sementara itu, Ayob bersama seorang lagi yang telah meninggal dunia didakwa atas kesalahan mengikrarkan di hadapan majistret bahawa Md. Yusof Bujang adalah waris yang sah kepada Aminah Jaudin.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dalam daerah Alor Gajah pada 28 Julai 2022 dan 19 Januari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ayob dan Norshaliza secara berasingan turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan MITC pada 27 Julai 2022 dan 31 Januari 2023.

Pendakwaan dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Aminah Talip bagi kedua-dua pertuduhan.

Mohd. Sabri kemudian bersetuju tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dan menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh lain bagi menunggu serahan fakta kes. Beliau menetapkan tarikh 9 Januari depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI