fbpx

Nak pendapatan naik, cuba pasaran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ALIRAN muzik semasa de­ngan layanan streaming karya digital membolehkan pendengar ­mengakses jutaan lagu, podcast, dan video dari seluruh dunia belum dimanfaatkan sebahagian besar penggiat seni tempatan.

Walaupun menyedari kepen­tingan aplikasi online, kelompok penyanyi dan pemuzik old school khususnya masih menaruh keyakinan tinggi terhadap promosi dan strategi pemasaran secara konvensional.

Paling tidak pun mereka sekadar menggunakan laman sosial seperti Instagram dan platform X sebagai medium hebahan yang mungkin berkesan untuk mengumumkan kehadiran karya baharu, bukan menjana pendapatan.

Melihat situasi yang seakan masih tiada perubahan, penggiat muzik tanah air disarankan me­nyambar peluang dunia tanpa sempadan ini dengan memanfaatkan setiap ruang bagi me­ningkatkan pendapatan serta royalti setiap karya.

Malah, aplikasi streaming yang menjadi platform kepada pengkarya meneroka pasaran luar negara juga membolehkan mereka berpotensi meraih pendapatan lebih tinggi, selain meneroka ruang kerjasama.

Maestro muzik dan penyanyi berpengalaman, Datuk M Nasir berkata, sudah tiba masanya penggiat seni terutama komposer lama memanfaatkan penggunaan platform digital seperti Spotify dan YouTube.

Akuinya, medium konvensional termasuk radio bukan lagi menjadi pilihan utama pencinta muzik apabila laman maya menawarkan variasi semua genre irama yang mempunyai jutaan katalog lagu.

Sekali gus katanya, peluang mereka yang memanfaatkan platform tersebut dengan sebaik mungkin membolehkan naskhah ciptaan didengari peminat glo­bal.

“Suka atau tidak kita perlu akur dan mengikuti aliran industri muzik global yang melalui pelbagai perubahan sehinggalah ke hari ini iaitu dalam bentuk pendigitalan.

“Sebagai orang lama, saya yang sebelum ini juga sukar menerima perubahan untuk membawa karya saya ke platform digital turut terkesan melihatkan pendapatan jatuh mendadak beberapa tahun lepas.

“Waktu itu saya jangkakan pendapatan daripada 500 lagu ciptaan saya semakin meningkat saban tahun, namun sebenarnya tidak sebanyak dahulu sehinggalah saya aktif ke arah digital,” katanya.

Menurut Pengerusi Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP), pesanan agar semua komposer, penulis mahu pun penyanyi menyertai streaming bukan hanya ditujukan kepada penggiat seni senior, sebaliknya untuk sesiapa sahaja yang mahu berjinak dalam industri muzik.

Malah, penjelasan itu juga sebagai pencerahan buat segelintir pengkarya yang merungut apabila menyangka syarikat rakaman membuat pembahagian tidak adil berikutan royalti diperoleh mereka tampak merudum dari semasa ke semasa.

“Kemerosotan pendapatan tiada kena mengena dengan pembahagian peratusan royalti antara pencipta dan label mahupun situasi pandemik yang pernah melanda dunia.

“Penurunan termasuk ro­yalti daripada penyiaran lagu itu jelas terlihat selepas berlaku peralihan ke arah digital yang hakikatnya diambil mudah oleh segelintir komposer lama.

“Kita pun kena kaji di mana platform lagu itu diputarkan. Sekiranya lagu popular di stesen radio kerajaan, namun kurang popular di platform komersial, maka tidak perlu hairan pendapatan tidak sehebat dahulu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI