PETALING JAYA – Seorang doktor perubatan di Terengganu, Dr. Ahmad Najmee Mohd. Nor membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ustaz Azhar Idrus (UAI) selepas memuat naik beberapa hantaran yang menuduh penceramah itu tidak memiliki tauliah mengajar.
Dr. Ahmad Najmee menerusi perkongsian di Facebooknya berbuat demikian setelah mengadakan pertemuan dengan wakil keluarga UAI, Mazuman di kliniknya semalam.
“Dengan segala rendah hati saya memohon maaf atas keterlanjuran kata dan tuduhan kurang cermat terhadap Ustaz Azhar Idrus yang memberi impak besar kepada banyak pihak.
“Keterlanjuran kata ini adalah hasil daripada kelemahan diri saya sendiri yang terlalu beremosi akibat terpengaruh dengan provokasi di media sosial.
“Permohonan maaf secara peribadi berbentuk video juga diajukan kepada UAI,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Najmee memberitahu, dia sedang berusaha untuk bertemu dengan UAI dalam masa terdekat.
“Saya reda dengan segala cercaan dan makian atas keterlanjuran kata-kata saya. Saya tidak dapat mengharapkan kalian semua memaafkan saya, tetapi mohon sedikit ihsan supaya memberikan saya peluang kedua.
“Pertemuan dengan Mazuwan semalam membuka hati saya tentang keikhlasan UAI menyampaikan ilmu agama kepada semua. Tidak hairan kenapa UAI menjadi kesayangan kepada pecinta ilmu agama,” jelasnya.
Justeru, Dr. Ahmad Najmee mengakui sebagai insan yang lemah, beliau mengambil iktibar daripada kejadian tersebut supaya lebih menjaga kata-kata kepada golongan ilmuan agama.
“Saya anggap segala apa yang saya hadapi ketika ini adalah kafarah terhadap dosa-dosa saya kerana tidak menghormati ilmuan agama. Doakan agar saya dikurniakan taufik dan hidayah.
“Kepada semua, tiada apa yang dapat saya lakukan untuk meredakan kemarahan kalian. Cuma saya mohon supaya diri saya, keluarga dan kakitangan klinik tidak dikasari atau dicederakan,” ujarnya.
Sebelum ini, Dr. Ahmad Najmee menerima pelbagai kecaman termasuk ugutan untuk memboikot kliniknya selepas menuduh UAI tidak mempunyai kelulusan dan tauliah untuk mengajar. – KOSMO! ONLINE