PETALING JAYA – Pelakon Shakilla Khoriri sudah sedia berdepan bekas suaminya, Fizi Ali yang membawa tuntutan penjagaan anak mereka, Ameena Sofia di mahkamah, bulan depan.
Katanya, buat masa ini dia dinasihatkan peguam agar tidak membuat sebarang kenyataan balas terhadap segala tuduhan termasuk dakwaan halangan berjumpa Ameena.
“Minta maaf, saya tak boleh nak komen apa-apa berkenaan ‘posting’ dibuat Fizi. Tak mengapa, kami akan jumpa di mahkamah, insya-Allah bulan depan.
“Saya akan tunggu keputusan mahkamah dan peguam nasihat tak berikan apa-apa kenyataan lagi berkenaan isu ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut aktres berusia 34 tahun itu, hakikatnya penyampai radio dan pengacara tersebut sudah lama tidak menghubunginya selepas 11 November lalu.
“Dia pun tidak menghubungi atau Whatsapp saya sejak hari graduasi konsert akhir tahun Ameena tempoh hari.
“Kali terakhir dia telefon dan bagi mesej menerusi Whatsapp adalah pada Sabtu bertarikh 11 November lalu. Selepas itu dia terus ghaib,” ujarnya.
Mengulas mengenai dakwaan dihalang bertemu puteri mereka selain mesej serta panggilannya sengaja disekat, pelakon Mahligai Cinta itu lebih selesa membiarkan Fizi berterusan menyebarkan tuduhan.
“Biarlah dia nak cakap apa, tak mengapalah. Biarlah dia,” ulasnya ringkas.
Kemelut mengenai isu dihalang bertemu Ameena sekali lagi dibangkitkan pemilik nama sebenar Mohd. Hafizudin Alimudin, 34, itu pada Jumaat lalu.
Dia memuat naik hantaran dalam Instagram meluahkan kerinduan terhadap kanak-kanak berusia empat tahun itu yang dikatakan sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.
Katanya, dia masih tidak dapat berhubung dengan anak kesayangannya apabila panggilan telefon serta mesej tidak berbalas.
Malah, pada November lalu bekas peserta program Pilih Kasih itu turut menzahirkan kekesalan apabila hasrat berjumpa Ameena ketika majlis graduasi tidak kesampaian.
Bagi menyelesaikan isu penjagaan anak tunggal mereka itu, Fizi mengakui telah menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan haknya sebagai bapa.
Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.
Kemudian lelaki terbabit mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan ibu tunggal anak satu, Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE.