PETALING JAYA – ‘Kecewa, sakit hati, sedih dan marah pada si pelaku tapi ibu kuatkan hati untuk memaafkan sahaja,’
Itulah luahan ibu kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta dipandu pegawai polis pada 15 Disember lalu.
Ibu mangsa, Mimi Julia Ismail, 50, berkata dia reda dengan pemergian anak bongsunya dan memilih untuk tidak mahu berdendam kerana ia lebih menyakitkan.
“Ibu reda dengan pemergianmu, hidup ibu dan abah juga hanya tinggal saki-baki yang ibu sendiri tidak tahu bila ia akan berakhir.
“Sememangnya kadang kadang hati ibu rasa kecewa, sakit hati, sedih dan marah pada si pelaku tapi ibu kuatkan hati untuk memaafkan saja.
“Ibu tidak mahu berdendam kerana itu lebih menyakitkan,” katanya dalam satu hantaran di akaun TikTok.
Luah Mimi Julia lagi, setelah 13 hari pemergian anak bongsu daripada empat beradiknya itu, dia dan suami, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, baru diberi kekuatan untuk kembali ‘menjemput rezeki’ di kedai makan mereka.
Walau bagaimanapun, ujarnya, masih sukar untuk dirinya dan suami untuk kuat kerana lokasi kedai makan mereka berada berdekatan dengan kawasan kejadian kemalangan.
“Ibu dan abah cuba sibukkan diri tapi ibu tak kuat. Sayu hati ibu bila terpandang tempat kejadian, terbayang bayang kesakitan yang Adik Mat alami.
“Kalau boleh ibu nak gantikan kesakitan Adik Mat tapi apakan daya Allah lebih menyayangimu Nak.
“Sungguh betapa rapuhnya hidup kita, kematian tak mengira masa, situasi, muda ataupun tua. Tiada sesiapa yang dapat menduga saat kudrat dan kesihatan yang baik tiba tiba ajal datang menjemput,” katanya.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh, difahamkan berlaku kerana tidak puas hati antara pemandu kereta dengan mangsa yang dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Pada 18 Disember lalu, pemandu kereta tersebut, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Dalam pada itu, Mimi Julia turut mendoakan anak kesayangan itu mati dalam keadaan husnul khatimah serta bersih daripada dosa ekoran kemalangan Muhammad Zaharif berlaku ketika Allahyarham baru pulang dari menuntut ilmu.
“Tunggu ibu di sana ya sayang. Ibu reda dengan perpisahan kita, moga kita bertemu di syurga Allah. Amin Ya Rabb. Bersih dari dosa, pulang dari menuntut ilmu dan berniat pula nak bersolat jumaat.
“Ibu berjanji untuk menjadi orang yang memberi manfaat pada orang lain, ibu berjanji untuk bahagia dan membahagiakan orang lain kerana ibu tidak tahu bila saat ibu akan pergi menghadap si Dia.
“Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan buat ibu dan abah. Semoga Allah angkat doa doa seluruh rakyat Malaysia buat Adik Mat dan keluarga kita. Salam perpisahan buatmu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE