KOTA BHARU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon semua mangsa yang terjejas banjir untuk segera membuat laporan mengenai kerosakan dan kemusnahan rumah mereka kepada agensi di bawah kementerian.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, laporan tersebut perlu dibuat untuk memudahkan pihaknya menjalankan siasatan.
Katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan dan maklumat mengenai perkara tersebut kerana banjir masih belum pulih sepenuhnya.
“KPKT akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dan menilai kerosakan rumah penduduk akibat banjir selepas maklumat diterima.
“Kerosakan rumah penduduk akan dibaiki mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dengan sewajarnya seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja dan taklimat banjir di Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah memberitahu, Kerajaan Persekutuan tetap membantu penduduk di sini yang ditimpa bencana meskipun Kelantan merupakan negeri yang diterajui pemimpin pembangkang.
Dalam perkembangan sama, menurutnya, seramai 495 anggota melibatkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) JBPM ditugaskan semasa Monsun Timur Laut (MTL) di kawasan Semenanjung Malaysia.- KOSMO! ONLINE