fbpx

Alha Alfa tolak jadi penyanyi, lahirkan single untuk suka-suka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tidak berniat untuk menjadi penyanyi, Alha Alfa suka mencabar diri membuat sesuatu luar daripada bidang kepakarannya.

PETALING JAYA – Usahawan kosmetik Datuk Seri Alha Alfa menolak untuk bergelar penyanyi, walaupun baru sahaja melancarkan single duet bersama pelakon, Zara Zya berjudul Cinta Agung, hari ini.

Alha atau nama sebenarnya Abdul Al-Halim Al-Fadzil, 34, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, tujuan dia hadir bersama single duet tersebut kerana hanya mahu memeriahkan industri seni muzik tempatan dan bukan untuk bergelar penyanyi profesional.

“Saya tidak ada niat pun untuk bergelar artis. Tujuan saya keluarkan single Cinta Agung bersama Zara Zya kerana mahu memeriahkan industri seni sebab sebelum ini, ramai usahawan lain juga menceburkan diri dalam bidang seni.

“Begitu juga sebaliknya apabila ada artis turut berkecimpung dalam bidang perniagaan. Jadi apa salahnya jika saya turut mengeluarkan lagu sendiri,” katanya.

Tambah Alha lagi, dia juga mahu menjadikan single tersebut sebagai hadiah sebagai tanda persahabatannya dengan pelakon tersebut yang telah terjalin sejak 10 tahun lalu.

“Single ini saya jadikan sebagai hadiah persahabatan buat Zara sepanjang 10 tahun kami bersahabat. Dia (Zara) merupakan ‘geng karaoke’ saya memandangkan kami suka menyanyi bersama-sama ketika punya watktu lapang.

Dalam pada itu, Alha yang ditemui di majlis pelancaran Cinta Agung di The Rokmah, Publika, di sini, hari ini, juga tidak menaruh harapan tinggi untuk lagu ciptaan penyanyi, Yuka Karisma itu untuk bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), kerana tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap itu.

“Saya tidak terfikir pun untuk Cinta Agung sampai ke pentas AJL. Saya cuma rakankan lagu ini untuk suka-suka sahaja. Kelas vokal pun saya tidak pergi.

“Lagi pun, single ini dihasilkan dalam masa singkat oleh penyanyi dan juga komposer, Yuka Karisma mengikut kesesuaian kami berdua.

“Apa-apa pun, saya percaya Cinta Agung mampu membantu untuk mengembangkan lagi empayar perniagaan saya,” jelasnya.

Bercakap tentang penghasilan video muzik (MV) Cinta Agung, Alha berkata dia memperuntukkan kos sebanyak RM60,000 untuk melahirkan Cinta Agung merangkumi pembikinan MV, pakaian dan set penggambaran.

Ketika disoal tentang kecaman oleh netizen yang bakal diterima, Alha berkata dia sudah bersedia, malah menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dalam industri hiburan.

“Bagi saya kecaman itu sudah menjadi kebiasaan. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun kena kecam, apa lagi saya.

“Tapi tidak mengapa, selagi tidak cuba, kita tidak tahu. Saya pula suka cabar diri dan buat sesuatu di luar kotak,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI