BALIK PULAU – Seekor ular sawa yang sebelum ini tular di media sosial dengan gelaran nama Cik Kiah seberat 240 kilogram (kg) dilaporkan mati semalam.
Pemiliknya, Mohd. Redzuan Abdullah Zawawi, 39, berkata, reptilia sepanjang tujuh meter yang dibelanya sejak dua dekad lalu itu ditemui sudah tidak bergerak ketika berada di dalam sangkar di rumah ularnya, kira-kira pukul 10 pagi.
Dia yang mesra disapa Abe memberitahu, haiwan peliharaan yang sudah dibela daripada saiz tiga jari manusia itu dikatakan mati akibat faktor usia yang kini mencecah umur 20 tahun.
“Haiwan kesayangan saya sudah mati semalam. Dialah menjadi terapi jiwa Abe selama ini.
“Banyak pengalaman yang diperoleh sejak memelihara Cik Kiah selain pernah digigit, saya juga pernah tinggal semalaman dengannya di dalam sangkar. Cik Kiah haiwan peliharaan pertama Abe.
“Pernah ada orang cakap saya gila kerana membela ular sawa yang besar, dengan kos penjagaannya juga tinggi,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut peminat hidupan eksotik itu, bangkai Cik Kiah akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk diawet dan disimpan di muzium agensi berkenaan.
Sebelum ini, Cik Kiah tular di media sosial apabila mengeluarkan najis seakan-akan isi durian musang king yang dirakam pemiliknya sehingga mendapat lebih sejuta tontonan.
Kosmo! pada 14 Oktober 2020 melaporkan, seorang bekas pemandu peribadi menjadikan ular sawa batik yang digelar Cik Kiah sebagai sebahagian terapi jiwanya selain dikatakan dapat merehatkan minda serta menghilang tekanan kerja.
Reptilia sepanjang kira-kira tujuh meter dengan berat 240 kg itu yang telah dibela sejak 17 tahun lalu ketika remaja, dihidangkan kira-kira 10 hingga 15 ekor ayam atau arnab setiap dua minggu sekali mengikut kesesuaian mood Cik Kiah. – KOSMO! ONLINE