fbpx

Rita Rudaini mengamuk, dituduh rampas hak B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RITA RUDAINI naik hantu apabila difitnah individu dipercayai guru berhubung penempatan sekolah anak-anaknya.

PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini ‘naik hantu’ apabila dituduh merampas hak golongan kurang berkemampuan atau B40 dengan menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang ditanggung kerajaan.

Lebih membuatkan pelakon berusia 47 tahun itu berang adalah tuduhan berbaur fitnah itu datang daripada individu bergelar guru.

“Dahulu, guru ini umpama lilin yang berkorban apa sahaja untuk memastikan murid-muridnya mendapatkan ilmu.

“Sekarang, ada segelintir guru umpama racun, asid dan toksik. Lebih suka mengumpat dan memfitnah pelajar serta ibu bapa daripada mengajar.

“Tahu-tahu hujung bulan cucuk duit di mesin pengeluaran wang. Sangat jijik!” katanya dalam InstaStory hari ini.

Tambahnya yang popular menerusi filem Mami Jarum, perkara tersebut dilalui anaknya selepas bertukar daripada sekolah swasta ke sekolah kerajaan.

“Beginilah nasib, dari sekolah swasta ke sekolah biasa. Difitnah ambil kuota B40 pula. Pemfitnah pula cikgu. Tidak layak digelar pendidik, sangat perangai.

“Mentaliti golongan ini ialah setiap kali individu dari keluarga T20 masuk sekolah tersebut, dituduh ambil hak B40 atau guna kroni.

“Kenapa, adakah semua anak-anak keluarga T20 bodoh? Mereka ini memang jenis tak percaya dengan rezeki Allah. Buanglah mentaliti kolot!” selarnya.

Dia juga menyelar sikap segelintir guru yang suka menjadi tepi kain orang tetapi tidak selari dengan imej seorang Muslim.

“Cikgu buka sahajalah tudung daripada terus memfitnah saya.

“Cikgu ni nak jadi apa sebenarnya? Hendak menjadi guru atau mak cik bawang?,” kata tanpa memberikan perincian nama sekolah dan guru yang dimaksudkan

Dramatis kelahiran Perlis itu bagaimanapun sentiasa yakin dengan rezeki yang diberikan Tuhan dan tidak gentar sekiranya terus dipinggirkan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Sabar saya ada had, tidak kacau orang tetapi orang jangan ganggu pula.

“Jangan lupa bahawa saya tidak pernah takut hilang pekerjaan kerana saya pernah tiada tawaran berlakon dan dipinggirkan selama tiga tahun kerana tidak ambil vaksin.

“Itu bukan penamat hidup sebab saya percaya bahawa rezeki, harta dan pangkat semuanya daripada Allah,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI