PETALING JAYA – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri (PM) Thailand, Srettha Thavisin di Phuket, Thailand semalam.
“Saya dan PM Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini.
“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Srettha juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan Insya-Allah beliau akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan.
“Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, dalam pertemuan secara santai itu, perbualan mereka sempat menyinggung beberapa perkara penting antaranya terkait soal pelancongan Malaysia-Thailand.
“PM Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung negara secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand,” katanya. – KOSMO! ONLINE