PETALING JAYA — Mengakui pernah menjadi mangsa dipergunakan sebuah syarikat selama lima tahun, pelakon senior Arash Mohamad kini mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati berurusan atau menerima tawaran sebagai duta.
Menurut pemilik nama penuh Azman Shah Ramlee itu, dirinya bukan ditipu sebaliknya terdapat pihak yang menggunakan namanya sebagai duta bagi menjalankan perniagaan yang bertentangan dengan prinsip digalas.
“Selama ini ramai yang sudah memaklumkam mengenai sikap dan perangai individu terbabit namun ketika itu saya rasa dia sangat baik dan enggan menghiraukan kata-kata orang.
“Selepas lima tahun menjadi duta syarikat itu, mereka melakukan sesuatu yang tidak mahu saya jelaskan secara terperinci, cukuplah jika anda tahu itu bertentangan dengan prinsip saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun aktor berusia 54 tahun itu tidak menyimpan dendam mahupun menghebohkan cerita lama apabila menyifatkan syarikat terbabit sudah mendapat balasan yang setimpal.
“Saya tidak berdendam sebab sepanjang berurusan dengan mereka, saya dapat menumpang rezeki.
“Saya hanya anggap saya dipergunakan sahaja dan mereka pun sudah mendapat kifarah daripada perbuatan mereka.
“Allah tak beri balasan cepat terus ke muka, tapi Dia beri perlahan-lahan agar kita ada masa untuk sedar,” ujarnya panjang lebar.
Pada masa sama, pelakon drama Mr. Mama itu turut menitipkan pesanan kepada selebriti lain agar berhati-hati membuat transaksi atau berkomunikasi atas talian dengan individu tidak dikenali.
“Ramai yang mahu mengambil kesempatan terhadap penggiat seni dan pesan saya, jika ada tawaran semaklah betul-betul kerana kadangkala mereka hanya tahu berjanji namun lain pula hasilnya.
“Contohnya ada yang kata nak guna wajah kita untuk kempen dua minggu tapi mereka guna sehingga setahun, tetapi bayaran tetap dengan harga dua minggu itu.
“Selain itu, jangan libatkan diri langsung dengan sebarang iklan atau grup pelaburan di Telegram. Jika mahu melabur pergilah ke bank,” katanya. — KOSMO! ONLINE