fbpx

Hujan berterusan peringkat waspada di Johor, Pahang hingga esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengemas kini amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri Pahang dan Johor, berkuat kuasa sehingga esok.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur dan selatan Semenanjung sehingga 28 Disember 2023.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, jabatan tersebut turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga pukul 5 petang ini.

Katanya, keadaan tersebut diramal berlaku di Perak melibatkan kawasan Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

“Selain itu, ia juga dikeluarkan bagi negeri Pahang (Bentong, Maran dan Bera), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian),” jelas kenyataan sama.

Tambahnya, bagi Sabah pula, antara kawasan yang terlibat ialah Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI