PENGGEMPUR skuad Harimau Malaya, Darren Lok berharap kualiti yang ada padanya sudah cukup untuk berada dalam senarai 23 pemain dibawa ke Qatar bagi mengharungi saingan Piala Asia 2023 bermula Januari ini.
Bintang Sabah FC itu mengakui, saingan untuk berada dalam kesebelasan utama dijangka lebih sengit terutama kehadiran penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales.
Kata Darren, barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan-gon sudah pasti memiliki perancangan tersendiri dan tentunya tahu kualiti serta kelemahan setiap pemain.
“Saya yakin Pan-gon tahu kualiti apa yang boleh saya berikan kepada skuad kebangsaan. Jika diberi peluang, saya akan berikan yang terbaik tidak kira dalam kesebelasan utama atau masuk sebagai pemain gantian.
“Apa yang penting, saya perlu fokus pada sesi latihan untuk meningkatkan prestasi selain perbaiki kelemahan yang ada.
“Kita telah mengharungi musim yang panjang, tetapi semua pemain cukup semangat untuk mengharungi cabaran terbesar (Piala Asia) nanti.
“Mengenai Morales, dia adalah pemain yang bagus dan pastinya ada sebab utama barisan kejurulatihan memanggilnya berada dalam pasukan kali ini,” kata penyerang berusia 32 tahun itu.
Skuad Harimau Malaya mula menjalani sesi latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam sebelum berlepas ke Asia Barat untuk meneruskan latihan fasa kedua nanti.
Seramai 26 nama dipanggil kali ini dengan tiga daripada senarai tersebut akan disingkirkan pada saat akhir oleh Pan-gon yang hanya membawa 23 pemain ke Piala Asia 2023 di Qatar bermula 13 Januari ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E dan dijadualkan menentang Jordan pada 16 Januari, disusuli aksi menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).