KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan kekal melebihi jumlah 17,000 orang dengan Tumpat menjadi daerah terbaharu terjejas bah gelombang ketiga, hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang tadi, seramai 17,378 orang mangsa masih berlindung di 63 buah pusat pemindahan.
Menurutnya, jumlah itu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding pagi tadi dengan seramai 17,307 mangsa di mana kesemua mangsa itu terdiri daripada 5,541 keluarga di lima daerah terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai.
“Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa paling tinggi dengan 13,844 orang, Kuala Krai (1,896), Tanah Merah (902), Gua Musang (105), dan Tumpat (239).
“Sebuah PPS di Kota Bharu iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 yang menempatkan 42 mangsa ditutup sepenuhnya,” katanya.
Katanya, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Sungai Golok (Rantau Panjang) masih melepasi bacaan paras bahaya.
Menurutnya, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) melepasi tahap amaran manakala sungai lain di negeri ini masih berada pada paras normal. – KOSMO! ONLINE