NEW DELHI, India – Seorang wanita berusia 28 tahun di negeri Assam diserang menggunakan senjata tajam dan dibakar oleh sekumpulan enam lelaki kerana didakwa mengamalkan ilmu sihir.
Akhbar Free Press Journal melaporkan, polis berjaya menahan empat suspek, manakala dua lagi masih diburu.
Pegawai polis daerah Sonitpur, Madhurima Das berkata, kejadian berlaku di Ladang Teh Ghagara dekat kampung Bahbari kelmarin.
“Tiga orang ditahan pada malam 24 Disember (kelmarin) dan seorang lagi diberkas pada Isnin (semalam). Satu kes difailkan di balai polis Tezpur,” katanya.
Berdasarkan laporan polis, mangsa dikenali sebagai Sangita Kapi yang merupakan ibu kepada tiga anak telah dipukul oleh enam lelaki dan dibakar hingga mati.
Suami mendiang berkata, suspek melabelkan mangsa sebagai ‘dukun’ sebelum membelasah dan membakarnya berhampiran rumah mereka.
Mayat mangsa dihantar ke Kolej Perubatan dan Hospital Tezpur untuk bedah siasat. – Agensi