PETALING JAYA – Gara-gara pasport basah, hasrat pasangan suami isteri untuk berbulan madu di Turkiye akhirnya terpaksa dilupakan apabila mereka tidak dibenarkan masuk oleh pekerja sebuah syarikat penerbangan.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @fikryyazman, dia memberitahu ketika berada di kaunter untuk mendaftar masuk bagasinya, salah seorang pekerja memeriksa pasportnya dan isteri sebelum dihalang untuk meneruskan penerbangan.
“Bukan pegawai Imigresen yang halang, sebaliknya pekerja syarikat penerbangan ketika saya mahu daftar masuk bagasi. Pasport memang tidak boleh kena air kerana mungkin menyebabkan tulisan pada dokumen itu kembang atau rosakkan cop masuk atau keluar dalam pasport itu,” katanya.
Menurut lelaki itu, pekerja syarikat penerbangan terbabit tidak mahu mengambil risiko sekiranya dia dan isteri dihalang meneruskan perjalanan ketika tiba di destinasi kunjungan selain tindakan tatatertib juga bakal dikenakan ke atasnya kerana membenarkan penumpang ‘terbang’ dalam keadaan salah.
Disebabkan kejadian itu, Fikry dan isteri terpaksa menanggung kerugian RM16,000 disebabkan sudah membayar pakej dengan ejen pelancongan ke Turkiye dan dalam perjanjian juga wang berkenaan tidak dapat dikembalikan sekiranya berlaku masalah daripada pihak pelanggan.
Lelaki itu juga menjelaskan bagaimana pasport miliknya boleh basah disebabkan terkena hujan gara-gara perlu berulang-alik ke Singapura dari Johor setiap hari atas urusan kerja.
“Kita merancang, Allah juga merancang. Kami terima dengan hati yang terbuka. Maafkan saya sayang tak dapat kita pergi ke sana,” luahnya.
Perkongsian Fikry di TikTok kini sudah meraih lebih 480,000 tontonan serta menerima pelbagai maklum balas daripada netizen.
Malah perkongsiannya juga memberi maklumat terbaharu kepada pengguna bahawa pasport yang basah boleh mengakibatkan pemegang dokumen tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. – KOSMO! ONLINE
@fikryyazman Kalau Allah kata bukan rezeki kita , maka bukanlah ☺️ #fyp #fypmalaysia #foryoupage #fypsg #fypシ #tiktokmalaysia #klia ♬ Dawai (From “Air Mata Di Ujung Sajadah”) – Fadhilah Intan