PETALING JAYA – Pasangan suami isteri cemas selepas menyedari seorang daripada anak mereka tidak ada bersama di dalam kereta yang dinaiki, rupa-rupanya tertinggal kira-kira 30 minit di sebuah inap desa di Ketereh, Kelantan.
Menerusi hantaran di Facebook, wanita itu menceritakan dia hanya menyedari kehilangan anaknya ketika mahu menunjukkan seekor kuda di tepi jalan kepada kanak-kanak perempuan itu.
Bagaimanapun, anaknya yang lain kemudian memberitahu adiknya dikenali sebagai Khyra tidak berada di dalam kereta tersebut yang turut dinaiki tiga individu lain termasuk ibu wanita itu.
“Kami berlalu tinggalkan homestay, bawa kereta dalam 30 minit perjalanan, ternampak kuda tepi jalan. Nak tunjuklah Khyra, tengok belakang tanya Ara (anak yang lain). Tokmi, Dian dan mak naik sekali kereta kami.
“Ara beritahu adik tiada. Kami macam terdiam, 30 minit perjalanan bercerita macam-macam tak hirau langsung. Ya (panggilan diri wanita tersebut) pun fikir, dalam kereta Una kot sebab Una, ayah, adik Ain, tunang Una dengan Rifqi naik kereta lain,” katanya pada hantaran Facebook semalam.
Wanita tersebut kemudian bertanyakan adiknya dikenali sebagai Una berkenaan anaknya, namun dimaklumkan kanak-kanak itu tidak menaiki kereta mereka.
“Weh la anak aku tertinggal dekat homestay. Papa dia pun tak fikir patah balik kereta terus guna ’emergency signal’, laju pergi ke homestay yang kita orang dah kunci semua dengan gelapnya.
“Lepas itu mak beritahu, betullah Khyra dalam homestay lagi sebab dia merajuk papa simpan bagasi yang dia nak main.
“Dia merajuk belakang kerusi, papa tak tahu adik merajuk dan tak keluar lagi. Jadi dia kunci pintu rumah, masuk kereta terus gerak tak cakap banyak,” ujarnya.
Dalam pada itu, wanita tersebut berkata, mereka terus memanggil kanak-kanak perempuan tersebut sebaik tiba di inap desa dan mendapati anaknya berada di depan pintu rumah.
“Sedih sangat tengok dia lembik, nangis banyak sangat sampai termuntah. Semua pakat nangis dan sujud syukur Khyra tak ada apa-apa. Macam-macam kemungkinan dalam fikiran ya Allah, pertama kali dalam hidup. Syukur Allah beri peluang boleh ambil anak sihat lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE