fbpx

Siasat segera warga Bangladesh dijanjikan pekerjaan tak wujud – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular rakaman deretan warga Bangladesh berjalan di Teluk Ramunia, Bayu Damai, Kota Tinggi baru-baru ini.

PETALING JAYA – Siasatan segera mesti dijalankan terhadap ejen yang bertanggungjawab berhubung kes penipuan pekerja asing bagi mendapatkan pekerjaan yang tidak wujud.

Gesaan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said susulan laporan sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh yang ditahan polis selepas berjalan secara beramai-ramai di Pengerang, Johor serta tular video mereka di media sosial.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang memaklumkan telah menghubungi Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong apabila diberitahu kira-kira 2,500 pekerja asing tersebut ditipu.

“Ini hanya sebahagian daripada masalah besar. Individu di sebalik sindiket ini mesti bertanggungjawab dan siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit tanpa menyediakan pekerjaan.

“Tanggungjawab dan peranan semua syarikat yang terlibat juga mesti disiasat bagi menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan terpikat dengan janji bekerja di Malaysia,” katanya pada aplikasi X hari ini.

Dalam pada itu, Azalina menegaskan jenayah tersebut menindas kemanusiaan.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tular rakaman video deretan warga Bangladesh berjalan beramai-ramai di Teluk Ramunia Bayu Damai sehingga mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

Bagaimanapun difahamkan kesemua warga asing itu dikatakan dalam perjalanan untuk membuat laporan polis kerana didakwa telah ditipu ejen pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dipetik berkata, video berkenaan dirakam pada 20 Disember lalu yang mana warga asing Bangladesh dikesan berjalan di kawasan hadapan simpang masuk di penempatan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI