BANGKOK – Banjir akibat hujan lebat menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk di selatan Thailand terjejas dengan sebilangan jalan raya dan landasan kereta api terpaksa ditutup.
Sekurang-kurangnya 12 sekolah di wilayah Yala dan Narathiwat ditutup, manakala rakaman di lokasi kejadian menyaksikan rumah dan kedai ditenggelami air keruh dengan penghuninya terpaksa berlindung di tingkat atas.
Hujan lebat juga menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh bot karam di Teluk Siam dan Laut Andaman sejak Jumaat lalu.
Syarikat kereta api Thailand berkata, landasan ditenggelami air menyebabkan tren yang menuju ke selatan iaitu ke lokasi sempadan dengan Malaysia terpaksa berhenti sejauh 100 kilometer di Yala.
Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada penduduk di wilayah itu supaya bersedia untuk berpindah sekiranya situasi banjir semakin teruk. – AFP