fbpx

[VIDEO] PU Azman diperintah bela diri kes amang seksual remaja lelaki 17 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Azman ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki pada tahun lalu.

Hakim Syafeera Mohd. Said memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kes yang dihadapi PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 42, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah memberikan tiga pilihan kepada PU Azman untuk membela diri dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Januari depan.

“Orang Kena Tuduh (Azman) diberikan tiga pilihan sama ada memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi atau memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

“Jika kamu memberi keterangan bersumpah kamu perlu bersedia disoal oleh pendakwa raya. Jika kamu memberi keterangan tidak bersumpah maka keterangan tersebut tidak cukup kuat kerana tidak boleh dicabar oleh pendakwa dan tidak menyoal balas kamu. Selain itu (pilihan ketiga) kamu berdiam diri,” katanya.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad kemudian memaklumkan anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

“Buat masa ini hanya panggil OKT (sebagai saksi pembelaan). Jika ada perkembangan akan dimaklumkan (kepada mahkamah),” jelasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri.

PU Azman dituduh dua kes amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Sungai Udang di sini masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa  hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Azman yang dikenali sebagai Cik Man turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Klang dan Ampang. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI