KLANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman masih aktif melakukan ceramah meskipun sedang berdepan dengan 11 pertuduhan amang seksual fizikal di empat mahkamah berasingan sejak tahun lalu.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 42, berkata, kebanyakan tawaran tersebut diperoleh di kawasan sekitar Perak.
Katanya, sebagai manusia, dia menerima segala dugaan yang dihadapi dengan tenang selain yakin bahawa terdapat hikmah disebaliknya.
“Saya sangat bersyukur dan alhamdulillah atas musibah yang menimpa ini dan hikmahnya pasti ada.
“Aktiviti tetap ada walaupun tidak seperti dulu dengan kebanyakannya di kawasan Perak. Selebihnya buat aktiviti luar seperti mendaki dan buat kandungan (media sosial) sendiri,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan kes akhir pendakwaan di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
Terdahulu, Hakim Syafeera Mohd. Said memerintahkan Azman atau lebih dikenali Cik Man membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Justeru, mengikut rekod, Cik Man turut menghadapi sembilan
lagi pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Mengulas lanjut, Azman berkata, hanya mengikut sebarang pencaturan ditetapkan oleh Allah dengan mengharapkan yang terbaik untuk dirinya.
“Setiap orang ada impian buat perubahan atau pun sesuatu yang terbaik untuk diri. Mengenai masa depan tidak boleh cakaplah, just follow the flow.
“Rasa semua tahu jawapan (sebab apa saya sentiasa kekal tenang). Jadi, doa sahajalah untuk Cik Man,” katanya.
Ketika ditanya keadaan badannya yang makin banyak menurun berbanding sebelum ini, Azman menjelaskan bahawa dirinya sihat.
“Saya sihat, cuma banyak aktiviti luar macam hiking semua itu,” katanya. – KOSMO!ONLINE