TEL AVIV – Sokongan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat terus merosot selepas dia dimalukan orang ramai ketika berucap di Parlimen, lapor laman berita TRT World semalam.
Netanyahu dalam ucapannya berikrar akan membawa pulang kesemua tebusan Israel yang masih ditahan di Semenanjung Gaza, namun menyatakan bahawa dia memerlukan lebih banyak masa.
“Sekarang! Sekarang! (bawa pulang),” jerit keluarga-keluarga tebusan yang berada di galeri bangunan Parlimen sambil diikuti sorakan ‘boo’ kepada pemimpin Rejim Zionis itu.
Menurut Netanyahu, askar Israel perlu meningkatkan tekanan ke atas kumpulan Hamas bagi membolehkan semua tahanan dibebaskan.
“Kita tidak boleh membebaskan tebusan tanpa tekanan ketenteraan,” katanya.
Tambah Netanyahu, dia ada bercakap dengan beberapa komander di lapangan yang mengatakan bahawa mereka memerlukan sedikit lagi masa untuk menamatkan misi.
“Kita tidak akan berhenti sehingga menang,” katanya di tengah-tengah sorakan berterusan penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati.
Menurut Rejim Zionis, 129 tebusan masih ditahan di Gaza ketika ini selepas mereka diculik oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu. – AGENSI