fbpx

‘Jerung’ dadah Sabah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan bergelar Datuk disyaki ‘jerung’ dadah terbesar yang berpangkalan di Sabah ditahan bersama sembilan konco-konconya, semalam.

Penaung kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu juga didapati mempunyai kekayaan luar biasa hasil aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sejak tahun 2015.

Operasi khas pada pukul 2.30 pagi itu dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beberapa siri serbuan telah dijalankan secara serentak di sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah melibatkan daerah Tawau dan Semporna.

Kata beliau, hasil operasi berkenaan seramai 10 lelaki yang merupakan ahli sindiket telah berjaya ditahan.

“Tangkapan pertama membabitkan ketua sindiket berusia 40 tahun (Ahli perniagaan) yang sebelum ini pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985.

“Baki sembilan individu yang ditahan berusia 30 hingga 48 tahun berperanan sebagai pengurus kewangan sindiket, keldai dadah, transporter, ahli kanan dan tonto bagi sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar khas, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket, Ayob Khan memaklumkan, suspek telah menjalankan sindiket terbesar di Sabah dan mempunyai jaringan pengedaran antarabangsa dan tempatan.

Katanya, bekalan dadah yang diperoleh daripada negara jiran akan dibawa ke Sabah dengan menggunakan keldai dadah melalui syarikat penerbangan komersil dan kiriman kargo laut.

“Bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar-pengedar sindiket dan diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil risikan mendapati ketua sindiket mempunyai pelbagai aset mewah antaranya banglo, 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan dan pembinaan, petrokimia, Oil & Gas serta manufacturing (pembuatan).

“Suspek turut memiliki pelbagai kenderaan mewah, sebuah feri dan rangkaian restoran selain berselindung kegiatan haram itu disebalik NGO diusahakannya.

“Kebanyakan sindiket besar mereka akan terlibat dengan pengubahan wang haram dan menjalankan aktiviti seperti menguruskan beberapa buah syarikat hasil wang haram tersebut.

“Sebelum ini agak susah untuk diambil tindakan bagi kes membabitkan ketua sindiket dadah atas faktor sukar membuat pembuktian pemilikan (dadah) di mahkamah selain modus operandi selalu berubah,” katanya.

Jelas beliau, siasatan dijalankan di bawah peruntukan Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Ini adalah tangkapan pertama membabitkan narkotik yang disiasat di bawah SOSMA. Siasatan di bawah SOSMA adalah bagi membolehkan pembanterasan kegiatan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh.

“Siasatan juga sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI