PETALING JAYA – Icapital.biz Berhad (Icap), satu-satunya dana tertutup tersenarai di Bursa Malaysia akan melangsungkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secara maya pada Jumaat, 29 Disember ini untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi cadangan Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP).
Katanya dalam satu kenyataan, semua pemegang saham digalakkan mengundi untuk menyokong DRP memandangkan ia menyediakan saluran kepada pemegang saham untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam saham Icap, sambil mengecilkan jurang antara harga saham dan Nilai Aset Bersih (NAB).
DRP yang dicadangkan akan berjalan selaras dengan dasar dividen Icap, yang digubal setelah bertahun usaha keras dan diperkenalkan pada 29 September 2023.
Dasar dividen Icap, yang pertama seumpamanya di peringkat global, tertakluk kepada keadaan pasaran dan ekonomi serta falsafah pelaburan nilai pelaburan.
Ia dirumuskan seperti berikut: Kadar Asas 1 peratus daripada NAB Icap sesaham, ditambah lapan peratus daripada perbezaan antara harga saham Icap dan NAB.
Tambahan lapan peratus ini dirujuk sebagai Kadar Tambah Nilai. Secara ringkas, dasar dividen inovatif ini terdiri daripada agregat Kadar Asas satu peratus dan Kadar Tambah Nilai lapan peratus.
Pada 2 Oktober 2023, ICAP mengumumkan pengenalan DRP untuk membolehkan para pemegang saham mempunyai pilihan untuk melabur semula dividen mereka ke dalam saham Icap baharu tanpa menanggung kos transaksi material.
Individu Yang Dilantik Icap, Tan Teng Boo berkata, pihaknya sedia maklum bahawa majoriti pemegang saham ICAP melabur untuk peningkatan modal jangka panjang.
“Kami mengambil berat tentang perkara ini dan ia tertanam dalam penggubalan DRP dan dasar dividen kami.
“DRP menyokong agenda utama peningkatan modal jangka panjang dan pada masa yang sama, dasar dividen inovatif kami telah dirancang dengan matlamat untuk memperbaiki secara automatik diskaun harga saham NAB tanpa menjejaskan falsafah pelaburan dana.
“Oleh itu, jika DRP diluluskan, pemegang saham akan memperoleh kedua-duanya, iaitu mendapat dividen serta peningkatan modal,” katanya dalam satu kenyataan.