DUNGUN – Beberapa perkampungan di Hulu Dungun di sini terputus bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi selepas beberapa pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan itu ditenggelami air sejak awal pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, antara perkampungan terlibat ialah Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Tepus dan Rantau Panjang.
“Kesemua kampung tersebut terputus bekalan elektrik berikutan TNB terpaksa menutup bekalan sementara secara berperingkat antara pukul 2 hingga pukul 4 pagi tadi berikutan pencawang elektrik di kawasan tersebut ditenggelami air.
“Saya difahamkan pihak TNB telah menghantar generator ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat demi keselesaan mangsa banjir,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Ghazali berkata, pihaknya juga akan menggunakan radio amatur untuk berkomunikasi dengan penduduk terlibat.
“Kami turut menggunakan bot untuk menghantar bekalan makanan mentah seperti ikan dan ayam untuk mangsa banjir terlibat.
“Ia disebabkan beberapa perkampungan seperti Kampung Kuala Jengai dan Kampung Jongok Batu tidak boleh lagi diakses menerusi jalan darat,” katanya.- KOSMO! ONLINE