PETALING JAYA – Percutian keluarga ke Hatyai bertukar pengalaman tidak diduga apabila banjir melanda selatan Thailand semalam.
Keluarga dari Kota Bharu ini terpaksa berpatah balik ke Hatyai apabila diberitahu Rantau Panjang turut dilanda banjir besar sehingga memaksa mereka pulang ke Malaysia menggunakan laluan Bukit Kayu Hitam di Kedah.
Menceritakan kisah tersebut, Muhammad Raziq Zharfan Zulkefli, 22, berkata, tujuan dia bersama keluarga pergi ke Hatyai adalah untuk membawa ibu dan bapa saudaranya dari Jakarta, Indonesia bercuti di negara gajah putih itu sempena cuti Krismas pada Ahad lalu.
“Kami cadang ke Hatyai untuk trip dua hari satu malam, saya bawa pak cik dan mak cik saya dari Jakarta untuk bercuti ke sana. Hari pertama pergi cadangnya untuk cross border (rentas sempadan) dan melalui Pengkalan Kubor, Kelantan dari rumah di Kota Bharu.
“Tetapi pagi itu (pada 24 Disember) feri tak jalan sebab faktor cuaca jadi kami masuk melalui Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Muhammad Raziq, ketika melalui kawasan Narathiwat, Thailand pada hari sama, mereka berdepan dengan situasi banjir namun masih boleh dilalui oleh kereta sebelum berjaya tiba di Hatyai.
“Perjalanan kami baik sahaja cuma dekat dalam bandar Narathiwat air dah mula masuk dan ada beberapa jalan sudah ditutup. Tapi alhamdulillah kami selamat sampai ke Hatyai,” ujarnya.
Katanya, pada keesokkan hari (semalam), dia dan keluarga bercadang untuk bersiar-siar sekitar Hatyai, namun segalanya terpaksa dilupakan apabila menerima panggilan kecemasan oleh bapa saudaranya memaklumkan daerah Rantau Panjang sudah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan lebih dua jam.
Jelasnya, mereka segera bersiap untuk bergerak pulang ke Kota Bharu kerana risau bakal tersangkut lebih lama gara-gara paras air banjir yang semakin meningkat di beberapa laluan.
“Pagi esoknya (semalam), saya dapat panggilan dari pak cik saya yang tinggal di Kota Bharu dia cakap Rantau Panjang dah banjir tapi jalan masih boleh guna, jadi kami ambil keputusan untuk balik cepat-cepat.
“Dalam perjalanan, pak cik saya maklumkan pihak imigresen di Rantau Panjang dah tutup jalan untuk semua kenderaan, masa itu kami baru sampai Pattani dan cadangnya nak terus tidur di Pattani memandangkan tak boleh balik ikut Rantau Panjang. Bila tanya orang awam di Pattani, mereka pun cakap kawasan sini (Pattani) juga akan naik air.
“Kami terus patah balik semula ke Hatyai dan tidur satu malam lagi sebelum mulakan perjalanan balik Malaysia melalui Danok ke Bukit Kayu Hitam hari ini sebab esok pak cik dan mak cik saya perlu pulang ke Jakarta semula,” katanya.
Ujarnya, ketika di Hatyai mereka sempat menonton berita berkaitan kejadian banjir di Narathiwat dan agak bimbang jika bencana alam itu berlarutan sehingga ke kawasan berhampiran Hatyai yang akan menyukarkan lagi untuk balik Malaysia.
“Malam tadi kami tengok berita dalam bilik hotel tengok makin teruk banjir dekat Narathiwat dan Pattani pun dah kena banjir teruk. Kami tengok berita dalam bahasa Thailand jadi tak faham, terus saya semak di portal berita tempatan dalam Facebook untuk kepastian.
“Pagi tadi kami bertolak awal lagi dari Hatyai dan alhamdulillah selamat masuk ke Malaysia, sekarang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk berehat sebelum hantar pulang pak cik dan mak cik saya di KLIA (Lapangan hTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur) esok,” jelasnya.
Bercerita mengenai pengalaman di Hatyai, Muhammad Raziq berkata, mereka sekeluarga hanya sempat menikmati makanan di sana tanpa singgah di mana-mana kawasan pelancongan yang ada.
“Sempat la makan-makan dekat kawasan sekitar bandar Hatyai pada malam pertama sampai itu. Tak sempat singgah mana-mana pun, perjalanan dalam kereta sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE