PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil kira pandangan kementerian serta agensi lain sebelum mengambil tindakan lanjut sama ada memberi kebenaran pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal, Sabah.
KPM dalam kenyataan berkata, kebenaran itu adalah tertakluk kepada keputusan dasar oleh kerajaan.
“Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut merentasi kementerian dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah, pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Termasuk meneroka opsyen seperti model pelaksanaan sekolah bimbingan jalinan kasih (SBJK) yang dijalankan di beberapa tempat sebagai langkah KPM dalam berhadapan dengan isu ini,” katanya di sini hari ini.
KPM berkata, Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelas KPM, penyediaan pusat bimbingan alternatif (PBA) adalah satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan untuk pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi penghantaran ke negara ketiga.
“Penubuhan PBA adalah tertakluk kepada ketetapan kerajaan dengan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara,” ujarnya.
Tambah KPM, Persatuan Pendidikan Bajau Laut juga telah mengemukakan permohonan PBA kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 30 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE